
HUTAN
Lipur Lata Kinjang (HLLK) yang dikunjungi ramai saban minggu,
sebenarnya menyimpan cerita misteri yang sangat unik dan penuh lagenda
yang hanya diketahui oleh segelintir masyarakat setempat sahaja.
Menurut sejarahnya, tempat itu dinamakan sebagai Lata Kinjang kerana di
kawasan itu terdapat banyak Kijang. Orang lnggeris yang pernah sampai
ke tempat itu pada zaman silam kerana memburu Kijang telah tersalah
sebut nama Kijang lalu berubah kepada nama “Kinjang” hingga kekal
namanya sampai sekarang.
Ketua Kampung Lata Kinjang,
Tok Batin Taha Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Haslam Abdullah ketika ditemui turut
mengesahkan Lata Kinjang banyak menyimpan kisah misteri yang sangat
unik . “Bila waktu lapang saya bercerita kepada anak cucu untuk
mendengar kisah Lata Kinjang,“ kataTok Batin Husin yang menyebut lata
tersebut telah diteroka oleh empat keturunan bermula daripada datuknya,
Allahyarham Mat Yakin.
Setakat ini belum ada
usaha-usaha untuk membukukan cerita-cerita misteri dan sejarah Lata
Kinjang. Ini bermakna, apabila kalangan orang tua-tua meninggal dunia,
sekaligus akan lenyaplah cerita lagenda Lata Kinjang untuk diketahui
oleh generasi muda.

Tok
Batin Husin berkata, di sekitar lata itu terdapat beberapa kesan yang
ada kaitannya dengan sejarah kemunculan Lata Kinjang sejak ditemui oleh
manusia beratus tahun lalu. Dia sendiri mengetahui sejarah lata itu
daripada cerita mulut yang didengar daripada datuknya Allahyarham Mat
Yakin dan bapanya Allahyarham Taha. Beliau berharap, ada di kalangan
sembilan orang anak dan dua belas orang cucunya akan menjadi penyambung
cerita mengenai sejarah Lata Kinjang kepada sesiapa yang ingin
mendengar kisahnya.
Encik Haslam pula menyebut,
ditingkat tiga lata terdapat bekas kesan tapak kaki Kijang yang
melarikan diri atas kawasan lata setelah dikejar oleh Harimau Akar yang
telah disumpah oleh kelembai menjadi batu. Kesan tapak kaki Kijang dan
batu besar dari lembaga Harimau Akar masih boleh dilihat tersergam
ditingkat tiga lata tersebut.
Di kawasan lata itu juga
terdapat kesan kubur anak kelembai yang terbaring memanjang dalam
lubang kubur yang sudah menjadi batu, bekas tapak kaki kelembai
termasuk lesong menumbuk padi yang telah disumpah menjadi batu.
Beliau
turut menceritakan kisah misteri seorang wanita cantik yang dipercayai
sebagai ”Puteri Bunian” yang pernah menjelma di kawasan lata itu pada
masa silam sehingga menarik perhatian seorang hartawan lnggeris yang
bercita-cita ingin mengahwini puteri itu .
Menurut
ceritanya, hartawan lnggeris itu yang secara kebetulan berkunjung ke
Lata Kinjang dalam tahun 1900, telah diberitahu oleh masyarakat Orang
Asli di situ mengenai penjelmaan seorang wanita cantik di kawasan lata
terutama pada musim bulan mengambang.
Kerana terlalu
ingin hendak melihat wajah puteri bunian itu, hartawan lnggeris itu
telah membina sebuah banglo ditingkat satu lata dan membina tangga batu
dari bawah hingga kepuncak lata itu. Beliau membina banglo itu sebagai
tempat penginapannya untuk melihat secara dekat wajah puteri bunian
yang dikatakan sering menampakkan dirinya bila menjelang senja.
Tetapi,
setelah menunggu berbulan-bulan di situ, hajat hartawan Inggeris itu
tidak kesampaian, lalu dia merasa kecewa dan terus pulang ke negara
asalnya di Eropah dan telah meninggal dunia beberapa bulan
kemudiannnya. Banglo yang dibina dengan kos yang mahal telah musnah dan
rosak sedikit demi sedikit dan sekarang hanya tinggal rangkanya sahaja.

Encik
Haslam memberitahu, “Puteri Bunian” muncul ditengah-tengah lata untuk
mandi bersama pakaian yang dipakainya dan berdiri tegak di atas batu
lata dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi punggung. Puteri
bunian itu yang disifatkan sebagai penunggu lata hanya menunjukkan
dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya
dikenali oleh manusia biasa. Kini, lagenda Puteri Bunian itu hanya
tinggal dalam lipatan sejarah sahaja kerana dia tidak muncul lagi di
kawasan lata tersebut. Mungkin disebabkan lata tersebut telah menjadi
tumpuan ramai dan dia enggan menjelmakan dirinya. Di kawasan lata itu
juga terdapat serumpun pokok buluh perindu yang hanya boleh diambil
oleh orang-orang tertentu sahaja. Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee
dikatakan memiliki Buluh Perindu yang diambil daripada Lata Kinjang
untuk ubat memerdukan suaranya.
Encik Haslam
memberitahu, di kawasan lata itu juga terdapat banyak kambing gurun
tetapi sukar diperangkap kerana ianya sangat lincah dan pandai
menghilangkan diri. Beliau berkata, semua cerita misteri yang berlaku
di kawasan lata itu menjadi cerita lisan yang bersambung dari mulut ke
mulut sahaja. Beliau sendiri mengetahui cerita misteri lata daripada
datuknya, Allahyarham Mat Yakin.
“Saya bersetuju jika
ada usaha untuk membukukan sejarah lagenda Lata Kinjang dijalankan oleh
mana-mana pihak sama ada menerusi cerpen, novel, puisi atau pembikinan
drama filem,’tegasnya. Beliau yakin, misteri lagenda Lata Kinjang akan
menarik perhatian khalayak jika dapat dijadikan drama atau filem. Ia
terserahlah kepada para karyawan filem dan drama untuk menjawabnya.
Take From http://mingguan-misteri.blogspot.com